Friday 3 January 2014

Tentang Kuantan

KUANTAN - Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an.
Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Kewujudan Kuantan
ini telah disentuh oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1851/52 seperti berikut:

Kampung Orang Kuantan, Kuantan "Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari
KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di
Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka
telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari.........."

Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum.
Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik dan pengikut-pengikutnya dalam tahun
1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.

Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah
dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang. Tapak Perkuburan Cik Timah. Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar. Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan
lama kelamaan panggilan ini dipendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.







No comments:

Post a Comment

Terima Kasih! ^_^