Friday, 13 December 2013

10 Tips Meningkatkan Perniagaan

Assalamualaikum,
Bismillahi-rahmani-rahim...Terima kasih kerana sudi membaca :)
Kali ini saya nak bawakan 10 lagi tips demi peningkatan perniagaan. kali ini kita buat countdown ye...




10) Melaburlah untuk mendapatkan kredibiliti daripada pihak ketiga :
Sekiranya ada cara untuk anda mendapatkan akreditasi atau kelayakan professional di dalam industri yang anda ceburi, pastikan yang anda melabur untuk mendapatkannya. Ia mungkin tidak murah tetapi sebagai pelaburan jangka panjang, ia akan membantu menambah nilai perniagaan anda serta meningkatkan kelayakan kepakaran anda.

9) Mempromosi ketika pelanggan sedang menunggu atau sedang menunggu di talian: Sekiranya anda perlu meminta pelanggan menunggu atau menunggu di talian telefon sebelum ianya disambungkan kepada pihak yang berkenaan, pastikan yang mereka yang sedang menunggu diberikan bahan bacaan yang membantu mempromosikan perniagaan anda. Sekiranya di talian, pastikan mereka mendengar rakaman yang mempromosikan produk atau perkhidmatan anda dan bukannya hanya mendengar lagu-lagu atau muzik yang tidak membantu menambah nilai perniagaan anda.

8) Berikan hadiah percuma yang lain dari yang lain: Hadiah pen dengan logo syarikat anda mungkin membosankan dan orang mudah lupa. Apakata cuba berikan sesuatu yang berbeza, seperti seluar dalam yang berlogokan syarikat anda contohnya, atau topi santa claus berlogo, atau mungkin sabun yang mempunyai logo syarikat anda yang buat mereka mandi "bersama-sama" anda setiap hari?
7) Minta dan gunakan testimonial pelanggan: Manusia lebih yakin bila mereka membaca pengalaman orang lain yang mendapat pengalaman yang bagus menggunakan produk atau perkhidmatan anda.
6) Berikan jaminan wang dikembalikan: Sekiranya anda yakin dan percaya dengan produk atau perkhidmatan anda, berikan jaminan anda. Tawarkan pemulangan wang jika mereka tidak berpuashati dengan apa yang anda berikan kepada mereka. Anda akan menarik lebih ramai orang untuk mencuba produk atau perkhidmatan anda dan biasanya mereka tidak akan meminta wang untuk dipulangkan sekiranya ianya bagus untuk mereka.
5) Berkawan dengan selebriti radio atau TV: Cari jalan untuk merapatkan diri dengan selebriti radio atau tv. Mereka adalah manusia biasa yang sukakan penghargaan. Kirimkan mereka hadiah yang luar biasa yang membuatkan mereka akan menyebut nama anda apabila mereka bersiaran.

4) Tukar mesej telefon anda : Sekiranya ada orang yang menelefon telefon pejabat atau telefon bimbit anda selepas waktu pejabat, ianya mungkin merupakan peluang anda untuk memasarkan kepada mereka. Tukar mesej panggilan telefon anda daripada "Maaf, kami sedang sibuk, sila tinggalkan pesanan anda!", tukarkan kepada "Maaf, kami amat sibuk melayan pelanggan kami sepanjang hari dan kami agak keletihan. Tinggalkan nama dan nombor telefon anda, kami pasti akan memanggil anda semula pada pukul 9.05pagi nanti!"

3) Mewujudkan sistem memperkenalkan kawan: Sekiranya pembekal atau pelanggan gembira untuk berurusan dengan anda, anda boleh memberikan mereka penghargaan contohnya voucher RM50 untuk setiap pelanggan baru yang diperkenalkan.

2) Lancarkan kempen untuk membuat sesuatu perubahan: Apakah perkara yang membuat orang ramai tidak gembira atau tidak berpuashati? Anda boleh menjadi penganjur kepada sesuatu kempen kesedaran di kawasan anda, contohnya, kempen menentang aedes. Sekiranya perniagaan anda memang secara terus dapat menyelesaikan masalah ini, ia adalah lebih baik.

1) Menawarkan perundingan atau memberikan ucapan: Cari kumpulan sasaran yang dikehendaki dan sertai mereka, tawarkan kepakaran anda dengan memberikan perundingan atau ucapan secara percuma. Ia akan mula membina anda untuk menonjol sebagai pakar dalam bidang tersebut.

Selamat mencuba! ;)
 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih! ^_^